Wednesday, 4 January 2012

EKSPETASI TERHADAP KEPIMPINAN AWAM 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG


Konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan oleh YB Perdana Menteri adalah satu langkah bijak untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Persepsi negatif yang sering kali dilontarkan kepada kakitangan kerajaan adalah seperti curi tulang, makan suap, pasif, tidak responsif dan juga lembap cuba disingkirkan dengan aplikasi konsep 1Malaysia ini.

            Dalam jangka masa lima ke sepuluh tahun, Malaysia akan melangkah ke era 2020. Adalah diharapkan sebelum atau sebaik sahaja menjelang tahun 2020, kepimpinan penjawat awam dapat mengembalikan kegemilangan para penjawat awam sebagai pakar rujuk jentera pentadbiran awam dan pembuat dasar yang disegani. Para pemimpin jentera awam seharusnya tidak lagi bertindak sebagai ‘pak turut’ kepada ahli politik seperti mana yang berlaku pada masa kini.

            Dalam pada pihak kerajaan giat memperjuangkan nasib bangsa-bangsa asing di Malaysia, keistimewaan bangsa Melayu, Bumiputera serta anak negeri Sabah dan Sarawak semakin hari semakin terhakis. Kepimpinan awam pada masa hadapan adalah diharapkan agar dapat mengembalikan dan memulihara keistimewaan bangsa Melayu, Bumiputera dan juga anak negeri Sabah dan Sarawak seperti mana termaktubnya di dalam Perlembagaan Persekutuan.

            Selain itu juga, kepimpinan tertinggi awam seharusnya lebih mengambil berat akan kebajikan dan keperluan para penjawat awam secara adil dan saksama. Penilaian dan pemarkahan secara merit, transparensi dan menyeluruh juga harus dilaksanakan agar para penjawat awam dapat dipaksa keluar daripada kelompok selesa dan seterusnya dapat menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.

            Disamping itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang seharusnya dipertimbangkan oleh kepimpinan awam masa hadapan agar perkhidmatan awam terus relevan dan kompetitif. Diantaranya adalah:

  • ·         peningkatan Corruption Perception Index (CPI) Negara kepada 7.0 ke atas;
  • ·         pengukuhan ekonomi dan ringgit Malaysia;
  • ·         peningkatan pendapatan perkapita isi rumah;
  • ·         pemantapan institusi kekeluargaan, keagamaan serta sosial; dan
  • ·         peningkatan keupayaan bangsa Melayu untuk bertanding secara adil dengan bangsa asing di peringkat kebangsaan dan seterusnya di persada antarabangsa.
Kesimpulannya, masih banyak agenda yang perlu dilaksanakan oleh kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam dalam merealisasikan Wawasan 2020. Pada peringkat ini, jentera perkhidmatan awam seharusnya mengorak langkah dengan lebih pantas agar dapat memastikan matlamat ini direalisasikan. Walaubagaimanapun, haruslah diingatkan agar matlamat yang ingin dicapai haruslah bersifat kolektif dan holistik agar rakyat Malaysia dapat menjadi satu bangsa yang disegani dan seterusnya dihormati di mata dunia.

Norkamarul Norzam
Sidang E
DPA 1/2011

No comments:

Post a Comment