Thursday, 5 January 2012

Apakah ekspektasi anda terhadap kepimpinan perhidmatan awam dalam masa lima hingga sepuluh tahun akan datang?

            Penjawat Awam (PA) merupakan penyumbang utama dan menjadi tulang belakang kepada jentera kerajaan dalam mencapai matlamat dan wawasan yang telah ditetapkan. Justeru itu, para PA perlu sentiasa bersedia menyiapkan diri dalam pelbagai keadaan untuk menghadapi tempoh perhidmatan dalam tempoh lima tahun atau sepuluh tahun akan datang. Sedar atau tidak hanya lebih kurang lapan tahun sahaja lagi negara akan mencapai Wawasan 2020. Sehubungan itu, PA perlu sedar dan bangkit melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik supaya mereka tidak mengalami kejutan budaya (culture shock) pada masa tersebut.


            Dalam menuju tempoh sepuluh tahun akan datang, persepsi rakyat terhadap kepimpinan perkhidmatan awam adalah berbeza sama sekali. Tanda-tanda awal telah pun kita lihat pada akhir-akhir ini kerana  rakyat semakin bijak dan  pandai menilai setiap perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Pada masa kini, rakyat lebih celik dan prihatin terhadap sistem penyampaian perkhidmatan PA. PA  hendaklah memastikan bahawa setiap perkhidmatan yang diberikan hendaklah menepati keperluan dan keadaan semasa pelanggan iaitu rakyat berpandukan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.


           Di samping itu juga, pada masa hadapan tugas PA adalah semakin bertambah dan penilaian tahunan akan dinilai dari seluruh aspek. Pelaksanaan skim terbaru SBPA telah membuka mata PA supaya bekerja lebih keras lagi pada masa hadapan supaya mereka  tidak ketinggalan dan seiring dengan matlamat yang telah ditetapkan. Akan tetapi, di sebalik keghairahan PA untuk menjalankan tugas dengan bersunggu-sungguh dan memerlukan pengorbanan yang besar, PA dinasihatkan agar menyeimbangkan kehidupan kerjaya dan peribadi mereka dengan sebaik mungkin. PA perlu memastikan bahawa kesibukan bekerja pada masa akan datang tidak mengganggu kestabilan keluarga dan perlu bijak membuat keputusan yang penting dalam hidup ini. Pendek kata, kepimpinan dalam keluarga adalah nadi kepada diri PA untuk berjaya dalam karier mereka.


          Selain itu juga, pihak kerajaan perlu lebih menjaga kebajikan PA dari semasa ke semasa.Ini adalah kerana PA pada masa akan datang akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar dan sangat kompleks. PA perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi situasi tersebut. Sistem kenaikan pangkat dan bonus serta ganjaran perlu dikemaskini dari semasa ke semasa bagi menghargai pengorbanan PA yang berkhidmat kepada lebih 30 juta penduduk di seluruh Malaysia pada sepuluh tahun akan datang. Kepimpinan yang ditunjukkan oleh PA perlu dihargai dan digilap dari semasa ke semasa.


          Kesimpulannya, PA perlu bersikap lebih terbuka dalam menghadapi persediaan pada sepuluh tahun akan datang. PA hendaklah meningkatkan kualiti diri terutama didalam aspek kepimpinan. Rakyat akan menghargai PA yang mempunyai kepimpinan dan sahsiah diri yang baik dan seterusnya sistem penyampaian dalam perkhidmatan dapat dipertingkatkan. Oleh yang demikian, PA perlu memulakan langkah pertama mereka pada hari ini untuk berubah supaya mereka dapat menempuh cabaran dalam masa sepuluh tahun akan  datang.


Nurkhairun Nisa Mokhtar
Sidang E
050112







No comments:

Post a Comment