Thursday, 5 January 2012

EKSPEKSTASI TERHADAP KEPIMPINAN AWAM 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG


Perkhidmatan Awam sebagai satu entiti pelaksana dasar merupakan tulang belakang bagi pentadbiran sesebuah negara. Keupayaan penjawat awam khususnya kepada kepimpinan yang menerajui entiti tersebut sering dilihat sebagai perkara yang amat penting bagi memudahkan urusan rakyat berurusan dengan Kerajaan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

        Perkhidmatan awam juga dilihat sebagai satu skim yang menguntungkan kerana ia merupakan satu kerjaya yang dihormati dan menjamin kestabilan hidup. Disebabkan itu, setiap langkah tidak kira dari segi kualiti dan produktiviti kepimpinan Perkhidmatan Awam seringkali diperhati dan ada juga yang dipertikaikan. Langkah Kerajaan menmperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) merupakan satu inisiatif dalam merealisasikan hasrat Kerajaan dalam meletakkan Perkhidmatan Awam sebagai entiti yang bertaraf global. Penjawat awam kini tidak boleh lagi melihat sesuatu perkara secara sambil lewa tetapi mereka perlu bertindak proaktif dan produktif dalam mencapai hasrat tersebut seterusnya memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

         Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) merupakan agensi yang bertanggungjawab memastikan pelaksanaan GTP tercapai seterusnya memastikan hasrat Kerajaan dan aspirasi rakyat disepadukan. Selain PEMANDU, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merupakan sebuah agensi pusat bagi pemodenan pentadbiran dan transformasi sistem penyampaian Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, MAMPU telah memperkenalkan insiatif Business Process Reengineering (BPR) kepada agensi Sektor Awam untuk memantapkan perkhidmatan kepada rakyat dengan cara melaksanakan penambahbaikan proses kerja serta disokong oleh penggunaan ICT sebagai pemudah cara urusan kerja di agensi.

         Seperti yang telah digariskan oleh MAMPU dalam menjadikan Perkhidmatan Awam sebagai yang cemerlang dan terbilang menjelang 2015, terdapat pelbagai usaha berperingkat yang telah dilaksanakan kepada pelbagai agensi Kerajaan. Dalam jangka masa lima ke sepuluh tahun akan datang, kepimpinan penjawat awam perlu meletakkan diri mereka sebagai pembuat dasar yang dipercayai serta menjadi tulang belakang pentadbiran Negara yang masih relevan dalam memastikan pembangunan masyarakat seterusnya ke arah mencapai Wawasan 2020.

         Apa yang diharapkan kepada kepimpinan Perkhidmatan Awam akan datang juga meliputi peningkatan taraf hidup rakyat iaitu pendapatan isi rumah per kapita dalam menjadikan Negara berpendapatan tinggi. Selain itu, mereka juga perlu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Corruption Perception Index (CPI) yang pada masa kini berada pada kedudukan yang membimbangkan.

         Kesimpulannya, kepimpinan Perkhidmatan Awam perlu bergerak proaktif dan selangkah ke hadapan bagi memastikan Wawasan 2020 dapat direalisasikan serta menjadikan Perkhidmatan Awam sebagai sebuah entiti yang dipercayai dan sentiasa kekal relevan. Sungguhpun begitu, masih banyak yang perlu dilaksanakan dan penjawat awam perlu bertindak mengikut keperluan dan bukan hanya tahu membuat dasar tanpa turun padang dan melihat keperluannya kepada masyarakat.


NUR RISYAH MUSA
KUALA LUMPUR


No comments:

Post a Comment