Kepimpinan Perkhidmatan Awam di Malaysia telah bermula seawal zaman pra-kemerdekaan lagi. Pucuk pimpinan silih berganti dan corak pemerintahan turut berubah. Setiap perubahan adalah sejajar dengan arus perubahan zaman yang kian membangun menuju kemajuan. Jika dikaji dan diteliti, perkhidmatan awam pada masa kini jauh berbeza daripada perkhidmatan awam pada masa lalu. Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi. Dahulu, perkhidmatan awam menjadi teras untuk memulihkan pembangunan ekonomi dan sosial negara. Kini, ia lebih daripada itu. Perkhidmatan awam masa kini meliputi segenap aspek perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat. Sudah pasti, untuk lima hingga sepuluh tahun akan datang, kepimpinan perkhidmatan awam perlu menjadi lebih berkesan daripada yang sedia ada pada masa ini.
Untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, kepimpinan perkhidmatan awam harus sentiasa mengutamakan aspek kreativiti dan inovasi bukan sahaja dalam pentadbiran dan pengurusan, malah dalam pembangunan operasi. Cabaran pada masa tersebut tentunya jauh lebih hebat terutamanya dengan perkembangan ICT dan teknologi moden. Pemikiran di luar kotak sewajarnya menjadi amalan kerana bermula dari situlah akan timbulnya kreativiti dan inovasi. Pemikiran di takuk lama hanya akan membuatkan kepimpinan perkhidmatan awam terjejas dari segi kredibiliti dan produktiviti. Dalam usaha ke arah ini, bukan sahaja latihan diperlukan tetapi juga perkongsian ilmu dari tokoh-tokoh terkemuka dalam perkhidmatan awam.
Kepimpinan yang berkesan sering dikaitkan dengan sifat, nilai murni dan tingkah laku yang beretika. Adalah diharapkan sifat, nilai murni dan tingkah laku yang beretika tersebut dapat diamalkan dalam kepimpinan perkhidmatan awam dalam usaha Malaysia menuju Wawasan 2020 iaitu Malaysia sebagai sebuah negara maju. Indeks rasuah pada masa ini amat tidak memuaskan. Untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, adalah penting indeks tersebut berada pada tahap yang membanggakan. Bukan sahaja rasuah, malah salah guna kuasa dan kesalahan-kesalahan lain yang bertentangan dengan etika perkhidmatan awam sewajarnya dikurangkan atau lebih baik dicegah.
Kesimpulannya, kepimpinan perkhidmatan awam sering menjadi perhatian masyarakat dan kerana ini, kepimpinan melalui teladan harus diamalkan. Melalui cara ini, kepimpinan perkhidmatan awam akan sentiasa dipercayai dan mendapat sokongan masyarakat.
NURUL SHAFINA BT MOHD NAWAWI
840403 08 5494
No comments:
Post a Comment