Sinar 2012 telah menjengah tiba 8 hari yang lalu. Ini bermakna tanggal 1 Januari 2020 di mana Malaysia bakal mencapai status sebuah negara maju hanya tinggal kurang daripada 8 tahun sahaja. Sesungguhnya, selain memerlukan kepimpinan politik yang dinamik, sektor swasta yang berdaya saing serta rakyat yang bersatu padu dan mendukung wawasan negara, langkah Malaysia ke arah mencapai negara maju lantas mengekalkan status tersebut juga memerlukan kepimpinan sektor awam yang serius, berpandangan jauh dan bergerak seiring dengan iltizam pucuk pimpinan Negara.
Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pelbagai dasar dan perancangan telah diperkenalkan oleh kerajaan dan mendapat dukungan perkhidmatan awam seperti Buku Hijau, Rancangan Malaya/Malaysia, Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan Negara dan Dasar Pertanian Negara. Kesemua dasar dan perancangan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bermatlamat bagi membangunkan negara tercinta ini dan sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi warganya lantas menjamin kesejahteraan hidup mereka.
Terkini, susulan peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 3 April 2009, Malaysia kini berada dalam ledakan era transformasi melalui pengenalan dan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (NEM) dan Gagasan 1Malaysia. Dasar dan perancangan tersebut bermatlamat bagi memacu Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Ini bermakna, dasar dan perancangan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991.
Jika diamati kandungan GTP, ETP, NEM dan Gagasan 1Malaysia, sesungguhnya dasar dan perancangan tersebut mempunyai visi dan misi yang tinggi serta berjiwa besar. Dalam hal ini, kepimpinan perkhidmatan awam Malaysia dan anggotanya selaku penggerak utama kerajaan Malaysia perlu menghayati sepenuhnya dasar dan perancangan tersebut dan merealisasikannya.
Lantaran itu, sebagai permulaan para penjawat awam perlu terlebih dahulu diberikan kefahaman sepenuhnya mengenai perkara tersebut. Di samping itu, perkhidmatan awam juga wajar bekerjasama erat dengan sektor swasta dengan mewujudkan pakatan strategik supaya dasar dan perancangan ini dapat direalisasikan lantas menggerakkan ekonomi Malaysia ke arah status negara maju. Selain itu, pelbagai lapisan rakyat Malaysia juga amat perlu diberikan kefahaman yang jelas mengenai perkara ini memandangkan mereka merupakan “sumber penting” yang dapat memastikan kejayaan Malaysia kelak. Hal ini juga memerlukan peranan penting oleh perkhidmatan awam Malaysia.
Kesimpulannya, perkhidmatan awam Malaysia mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam merealisasikan dasar dan perancangan kerajaan ke arah menjadikan negara ini sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi seterusnya mengekalkan status tersebut. Kepimpinan perkhidmatan ini amat wajar mempunyai matlamat yang jelas berhubung perkara ini dan sesungguhnya dukungan erat oleh semua penjawat awam adalah sesuatu yang mutlak.
Oleh: Mohamed Helmi Bin Deris @ Abdullah
850905-14-6591
Sidang E
No comments:
Post a Comment