Sunday, 8 January 2012

Ekspektasi Terhadap Kepimpinan Awam Lima Hingga Sepuluh Tahun Akan Datang

Jika kita meluangkan masa melepak di kedai kopi pada waktu sekarang, isu-isu panas seperti Anwar Ibrahim, demonstrasi 901, pilihanraya umum ke 13, MyKad baru, Amalina Che Bakri tidak boleh tidak pastinya akan menjadi topik perbualan. Yang menariknya, semua isu ini mereka kaitkan dengan kerajaan. Polis, Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Pilihanraya, semuanya mereka maksudkan dengan kerajaan.

Kenapa agaknya mereka begitu berminat bercakap mengenai kerajaan? Atau soalan yang lebih tepat ialah kenapa agaknya mereka menganggap semua kepincangan isu dalam negara ada kaitan dengan kerajaan? Saya menganggap perkara ini perlu diberi perhatian kerana sesebuah kerajaan akan dikatakan kerajaan yang baik hanya jika perkhidmatan awam berada di tahap cemerlang.

Kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sememangnya telah banyak mengubah landskap dan suasana perkhidmatan awam negara. Bermula dengan pengumuman Key Performance Indicator (KPI), seterusnya  National Key Repository Area (NKRA), Economy Transformation Program (ETP), Government Transformation Program (GTP), Politic Transformation Program (PTP), Blue Ocean Strategy, dan yang terbaru Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)  menjadikan perkhidmatan awam dilihat ‘segar’, re-branding dan menepati kehendak masyarakat semasa. Namun begitu, fasa perubahan ini akan kekal statik dalam keadaan begini jika tiada kumpulan pelapis dan pelaksana bagi meneruskan agenda perubahan ini.

Perkhidmatan awam dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang akan menjadi lebih efisien kerana dasarnya yang kukuh telah dibina mulai sekarang. Agenda NKRA, projek-projek Blue Ocean Strategy, dasar-dasar ETP serta misi kerajaan seterusnya tidak harus berhenti meskipun jika ada perubahan tampuk pemerintahan sekalipun. Ia sewajarnya dijadikan misi nasional dan dianggap penting oleh setiap rakyat Malaysia amnya serta anggota perkhidmatan awam khususnya.

Jika semangat begini boleh diterapkan, pasti topik-topik perbualan di kedai kopi akan menjadi lebih bernas malah kedai kopi mungkin boleh dijadikan salah satu platform di mana idea dan dasar-dasar kerajaan dapat dibincang dan ditambahbaik secara santai tetapi juga efektif.

Oleh :

Nurul Syahmiza binti Md Isa
850410-025210

No comments:

Post a Comment