Friday, 6 January 2012

EKSPEKTASI SAYA TERHADAP KEPIMPINAN PERKHIDMATAN AWAM DALAM MASA 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG

Apabila diajukan soalan sebegini, jawapan pertama yang muncul dalam fikiran saya adalah PERUBAHAN. Saya ingin melihat situasi, budaya dan pemikiran terutamanya kepimpinan dalam perkhidmatan awam berubah...tidak seperti dahulu dan tidak seperti sekarang. Perkhidmatan awam di Malaysia pada masa kini menghadapi pelbagai cabaran luaran seperti persaingan dari sektor swasta, cabaran globalisasi dan juga cabaran dalaman yang paling utama adalah sikap mementingkan diri-sendiri penjawat awam dan masyarakat Malaysia. Seharusnya sudah tiba masanya kita membuat perubahan supaya cabaran-cabaran ini dapat diatasi.


Perubahan hendaklah dimulakan dengan budaya dan pemikiran pemimpin kerana merekalah yang akan mempengaruhi dan membawa orang-orang lain ke dalam arus perubahan. Bagaimana caranya untuk mengubah budaya dan pemikiran pemimpin yang sudah tentu bijak dan mempunyai caranya yang tersendiri? Salah satu cara adalah dengan mengubah kriteria pemilihan penjawat awam dan mengubah cara latihan dan penilaian yang diberikan sekarang. Jika kita sudah selesa memilih orang-orang yang sama kriteria seperti dahulu dan kemudiannya menjalani latihan-latihan yang sama pelaksanaan serta objektifnya seperti tahun-tahun terdahulu maka output/ produk penjawat awam atau pemimpin yang sama akan terhasil. 'That is how the typical government servant is born again and again'. 


Masyarakat kini adalah berbeza dengan masyarakat 10 tahun yang lalu. Generasi akan bersilih ganti dan perbezaan ini adalah sebab utama mengapa kita perlu mengubah pelaksanaan latihan, mengubah kriteria pemilihan dan seterusnya memberikan sesuatu yang 'custom-made', unik dan sesuai dengan generasi tersebut sekiranya kita mahu hasil kepimpinan, budaya kerja dan pemikiran yang optimum untuk kepentingan bersama. Jika perkara begini dapat dilaksanakan, maka lahirlah pemimpin yang membawa cara yang baru, budaya kerja yang berlainan tetapi tetap efektif dan lebih baik serta pemikiran yang lebih terbuka, melangkau sempadan, tidak mementingkan diri-sendiri tetapi masih mengekalkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang boleh memberi identiti positif dan cemerlang kepada perkhidmatan awam.

Apa yang penting adalah kita sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, jangan terlalu selesa dengan apa yang ada sekarang, kekalkan nilai-nilai murni dan budaya yang relevan, jangan takut untuk mencuba dan berfikiran lebih terbuka, jangan biarkan orang lain menindas kita tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri dan jangan sentiasa pentingkan diri-sendiri. Inilah yang perlu dilakukan demi mencapai harapan kepimpinan perkhidmatan awam yang 'sustainable' dan dihormati pada masa hadapan. 

Ekspektasi saya mungkin sangat lantang dan ada yang rasakan ia mustahil atau tidak perlu kerana apa yang kita ada sudah memadai, tetapi itu semua jawapan 'the typical government servant'. 


SHAZRINA MOHD HANIFIAH
790816-10-5542
SIDANG E -DPA 1/2011

No comments:

Post a Comment