Perkhidmatan awam telah lebih lima dekad menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan negara. Sekali air bah sekali pantai berubah. Salah satu hakikat zaman adalah perubahan; Untuk maju manusia perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan manusia perlu menerajui perubahan, sebaliknya jika hanya bernostalgia dengan sejarah kejayaan lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru akan menyebabkan gejala jumud dan beku membudaya. Oleh itu rakyat berharap setiap generasi penjawat awam membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa. Melalui kaedah ini barulah mereka boleh memainkan peranan secara berkesan sebagai pemelihara kepentingan awam.
Penjawat awam Malaysia mempunyai reputasi yang amat cemerlang bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi juga di peringkat rantau dan antarabangsa. Perkhidmatan awam Malaysia perlu memainkan peranan yang pro-aktif di dalam proses transformasi negara . Kayu ukur dan tanda aras hari ini telah berubah akibat proses globalisasi, ledakan maklumat dan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Sesungguhnya penambahbaikan yang perlu dilakukan adalah satu kesinambungan kepada transformasi berterusan sektor awam yang telah dimulakan sejak lama dahulu.
Model baru ekonomi adalah bagi Malaysia meningkatkan statusnya dari sebuah negara “upper middle income” kepada negara “high income” dan dalam masa terdekat meletakkan kita kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju. Sektor perkhidmatan awam perlu memainkan peranan kerana sejarah telah membuktikan bahawa penjawat awam telah berjaya membantu dalam proses transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.
Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur pada abad ke-21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semua rakyat Malaysia mengoptimakan potensi mereka. Di sini peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, luwes dan berani berubah adalah amat mustahak.
Rakyat memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai korporat. Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam. Sektor awam perlu menjadi pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengenepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam. Penjawat awam sekali-kali tidak boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisa akhirnya adalah rakyat.
Sektor awam perlu anjakan paradigma daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat. Hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global. Untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, orang ramai memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. Perkhidmatan awam tidak boleh terus-terusan mengamal tatacara kerja yang usang, menyulitkan lagi melambatkan jikalau ia dapat dilaksanakan atau disiapkan dalam masa yang cepat. Perkara ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan, usaha dan tekad, ia tidak mustahil.
Penjawat awam juga perlu anjakan dari paradigma produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan innovasi. Produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan innovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia. Dengan kemajuan teknologi maklumat produktiviti setiap pegawai dan kakitangan boleh dioptimakan.
Nur Hafizah bt Abdullah
840802-05-5014
Sidang E
No comments:
Post a Comment