Pemimpin adalah tonggak sesebuah negara. Seorang pemimpin yang cemerlang mampu untuk mencorakkan kemajuan dan masa hadapan negara dengan baik. Namun, perkembangan sebuah kepimpinan adalah sebuah perjalanan yang panjang dan bukanlah seperti sebuah lawatan jangka pendek. Memetik kata-kata seorang penulis popular berkenaan kepimpinan, Dr. John C. Maxwell, “Kepimpinan adalah pengaruh (Leadership is influence)”. Definisi dengan hanya satu perkataan ini adalah ringkas dan tepat yang menggambarkan bahawa kepimpinan adalah mampu dicapai oleh setiap orang kerana setiap orang mampu untuk mengaplikasikan kepimpinan dalam hidupnya pada suatu tempat dan peringkat. Kepimpinan bukanlah terletak pada jawatan, kedudukan atau nama pada carta organisasi sesebuah institusi, tapi semuanya berkaitan dengan suatu jiwa yang berjaya mempengaruhi jiwa-jiwa lain!
Perkhidmatan Awam di Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan imej Malaysia di mata dunia. Terdapat ramai pemimpin hebat dalam Perkhidmatan Awam yang terkenal di persada dunia dan menjadi rujukan banyak pihak dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, sosial, politik dan sebagainya contohnya Tun Dr. Mahathir Mohamad. Oleh itu, dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, lebih ramai pemimpin hebat seperti beliau diperlukan kerana arus globalisasi yang semakin mencabar. Malah, pemimpin Perkhidmatan Awam perlu lebih hebat daripada beliau!
Saya mengharapkan pemimpin Perkhidmatan Awam di masa hadapan bukan sahaja seorang yang hebat dan berwawasan, malah seorang yang dilengkapi dengan nilai-nilai murni seperti amanah, telus dan penuh integriti menjadikan beliau seorang yang mempunyai pakej lengkap dan dihormati. Saya mengimpikan pemimpin hebat seperti Rasulullah dan para sahabat Khulafa’ ar-Rasyidin yang dikagumi oleh semua rakyatnya sama ada muslim dan bukan muslim. Kepimpinan melalui tauladan (Leadership by Example) yang ditunjuki mereka menjadikan masyarakat di sekeliling mereka juga berakhlak seperti mereka dan menjadikan Islam tersebar ke seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Saat Islam menjadi order baru dengan menawan dua pertiga dunia (melalui pengaruh, bukannya geografi) seperti pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah pada abad ke-9 Masihi adalah amat saya impikan untuk berulang semula. Saat itu, dunia menjadikan Islam sebagai sumber rujukan utama (Ustaziyatul ‘alam) dan masyarakat dunia tanpa segan silu dan merasa asing untuk mengaplikasikan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan seharian.
Kesimpulannya, pemimpin adalah amat penting dalam mewarnakan sesebuah negara dan kepimpinan dalam Perkhidmatan Awam memainkan peranan yang amat penting di Malaysia. Pada masa 5 hingga 10 tahun akan datang, mungkin saya akan menjadi salah seorang pemimpin dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia. Saat itu, saya berumur dalam lingkungan 32-37 tahun. Insya-ALLAH saya berazam untuk membentuk negara seperti yang saya impikan bersama-sama pasukan kerja yang hebat kerana saya tahu adalah mustahil untuk saya melakukannya seorang diri.
Nurul Asmaa’ binti Ismail
850725-12-5056
Sidang E, DPA 1/2011 (LEGASI)
No comments:
Post a Comment