Friday, 6 January 2012

EKSPEKTASI TERHADAP PERKHIDMATAN AWAM DALAM TEMPOH 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG

Perkhidmatan awam merupakan sesuatu entiti yang menjadi tunjang dalam pembangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Perkhidmatan awam yang tidak bermotifkan keuntungan sentiasa memfokuskan segala dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kepada kebajikan rakyat. Di Malaysia, di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri ketika ini, perkhidmatan awam sedang diusahakan secara bersungguh-sungguh untuk ditransformasikan supaya semua aspek perkhidmatan awam menjadi relevan kepada rakyat dan negara.
Rata-rata pihak swasta dan sesetengah rakyat Malaysia melihat perkhidmatan awam sebagai terlalu besar dari segi jumlah pekerjanya, dan mempunyai terlalu banyak prosedur yang perlu dipatuhi bagi memproses sesuatu permohonan. Dengan kata lain, perkhidmatan awam dilihat sebagai tidak efisien. Walau pun telah banyak usaha dilakukan oleh agensi seperti PEMUDAH bagi mengatasi masalah birokrasi, persepsi ini masih wujud memandangkan pelaksanaannya yang tidak menyeluruh. Sekiranya seorang rakyat jelata berpeluang masuk ke dalam ruang kawasan pejabat Kerajaan, terdapat kemungkinan mereka dapat melihat staf Kerajaan yang hanya duduk bersembang atau bermain permainan komputer atau membuat kerja yang tiada kaitan dengan perkhidmatan awam. Mungkin sebab itulah pihak pembangkang mewar-warkan akan mengurangkan jumlah kakitangan perkhidmatan awam sekiranya mereka menang pilihan raya bagi menarik sokongan rakyat.
Sehubungan itu, perkhidmatan awam perlu berubah bagi kekal relevan dan juga perlu kelihatan relevan di mata rakyat. Mungkin itulah yang cuba diperkenalkan oleh sistem Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang mementingkan pencapaian berterusan oleh kakitangan awam, serta memperkenalkan ‘exit policy’ dalam perkhidmatan awam. Sekiranya skim baru ini tidak dilaksanakan, perasaan untuk berubah sukar timbul dalam sanubari pegawai perkhidmatan awam. SBPA juga menawarkan tangga gaji  yang lebih menarik sebagai insentif untuk menyertai skim ini. Satu yang menarik perhatian, SPBA juga membolehkan seseorang yang berhenti dari perkhimatan awam masuk semula ke perkhimatan awam, dan tidak perlu bermula dari bawah. Seseorang yang pernah bekerja di sektor swasta pasti merasakan perkara ini adalah seperti yang diamalkan di syarikat swasta. Mungkin dengan cara ini, perkhidmatan awam akan menjadi lebih efisien seperti yang selalu ditekankan oleh syarikat swasta.
YAB  Perdana Menteri telah menyedari tentang betapa perlunya perkhidmatan awam berubah bagi memajukan negara dan memenangi hati rakyat. Namun, faktor yang perlu diberi perhatian adalah perubahan oleh kepimpinan perkhidmatan awam itu sendiri. Pemimpin-pemimpin perkhidmatan awam perlu terlebih dahulu berubah bagi membolehkan anak buah mengikut arus perubahan tersebut. Contohnya, peranan Information and Communication Technology (ICT) adalah amat penting dalam meningkatkan mutu kerja sesebuah organisasi. Oleh itu, kepimpinan perkhidmatan awam juga perlu mahir dalam ICT. Kepimpinann perkhidmatan awam perlu bergerak ke arah persekitaran yang ‘paperless’, dan tidak boleh sentiasa mahukan sesuatu dalam bentuk ’hardcopies’. Selain itu, perkara-perkara negatif yang sering dikaitkan dengan perkhidmatan awam seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, perlu dikikis terus dari kepimpinan perkhidmatan awam. Apabila kecekapan dan integriti berjaya diterapkan, dan dengan pelaksanaan skim SBPA, saya yakin perkhidmatan awam akan mencapai zaman kegemilangannnya dandipandang tinggi oleh masyarakat.

Mohd Mushawwir Mohd Najib
790706-08-5755
Sidang E

No comments:

Post a Comment