Saturday, 7 January 2012

EKSPEKTASI PERKHIDMATAN AWAM DALAM MASA 5-10 TAHUN AKAN DATANG

Perkhidmatan Awam kini berhadapan dengan pelbagai cabaran besar dalam menangani perubahan persekitaran yang memberi kesan langsung kepada ekspektasi rakyat dan stakeholders ke atas prestasi perkhidmatan yang disampaikan. Perubahan ini menuntut Perkhidmatan Awam bertindak secara lebih bijak dan berperancangan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berprestasi tinggi yang melangkaui ekspektasi rakyat dan stakeholders.

Salah satu teras strategik yang telah diberikan fokus dalam agenda transformasi Sektor Awam ialah pemerkasaan agensi barisan hadapan. Ini adalah kerana peranan agensi tersebut adalah begitu kritikal bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai perkhidmatan yang diberikan kepada pelabur dan penggiat industri. Keberkesanan Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 bergantung kepada kecemerlangan penyampaian Perkhidmatan Awam yang memberi impak positif kepada seluruh rakyat.

Penggubalan Pelan Strategik Organisasi sebagai rujukan utama dalam melaksanakan strategi penting untuk mencapai visi dan misi organisasi; pelaksanaan Business Process Reengineering (BPR) bagi menambah baik sistem dan prosedur kerja sedia ada; melaksanakan amalan terbaik; membangunkan Pelan Strategik ICT (ISP); dan melaksanakan aplikasi e-Government yang terpilih dan lain-lain inisiatif yang telah dilaksanakan adalah bagi memperkasakan organisasi Kerajaan. Kesemua inisiatif ini akan menyumbang kepada pemantapan sistem penyampaian bagi memenuhi permintaan rakyat dan meningkatkan daya saing negara selaras dengan matlamat RMKe-10 dan Model Baru Ekonomi.

Dalam banyak keadaan kita masih perlu membuat pembaharuan kerana terdapat banyak proses-proses kerja yang lapuk dan boleh diubah selagi ianya tidak melanggar prinsip integriti dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Sektor Awam khususnya agensi barisan hadapan yang cekap akan berupaya menjadi pemudah cara yang berkesan kepada sektor swasta. Lantaran itu, sektor swasta akan mendapat manfaat daripada dasar-dasar yang memudahkan cara perniagaan dan seterusnya meningkatkan keberkesanan mereka.

Semua peringkat warga dalam sesebuah agensi haruslah bersedia untuk merubah minda dan cara bekerja supaya dapat menerima dan menggerakkan inisiatif-inisiatif transformasi yang diperkenalkan mencakupi keseluruhan aspek organisasi. Berdasarkan semua strategi yang sedang dilaksanakan, perkhidmatan awam akan menjadi lebih dinamik dan berkualiti dalam masa 5-10 tahun akan datang. Walaupun begitu, momentum ini hendaklah dikekalkan dan dipertingkatkan kerana pada masa yang sama negara-negara lain juga sedang menggiatkan daya saing mereka. Jika kita berpuas hati dengan apa yang ada tersebut, tidak mustahil kedudukan kita akan merosot dalam masa yang singkat.


MOHD KHAIRI BIN MOHD HANAFIAH
841213-14-5331
SIDANG E, DPA BIL.1/2011

No comments:

Post a Comment