Pelbagai persepsi dan pandangan masyarakat terhadap perkhidmatan awam masa kini. Dari sudut positifnya, kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam mempunyai masa depan cerah termasuk dari segi imbuhan, kenaikan pangkat dan sebagainya manakala dari sudut negatifnya, perkhidmatan awam ketika ini tidak mencabar, penuh birokrasi dan sukar mengembangkan kerjaya dan sebagainya. Pandangan dan persepsi yang berbeza ini perlu dilihat dengan lebih mendalam sekiranya hasrat dan matlamat menuju kerajaan ke arah Wawasan 2020 ingin dicapai. Jika dihitung hanya tinggal 8 tahun sahaja lagi dan seharusnya kerajaan telah mempunyai persediaan yang rapi dan teratur dalam mentransformasikan dan memperkemaskan lagi sistem perkhidmatan awam.
Salah satu cabaran utama kepada perkhidmatan awam pada hari ini ialah memenuhi kepuasan pelanggan samada orang luar atau penjawat awam sendiri. Adalah sukar untuk memuaskan hati kehendak dan tuntutan pelanggan yang sentiasa berubah mengikut kehendak dan senario semasa. Justeru, dalam tempoh 5-10 tahun akan datang ini, kerajaan perlu sentiasa berusaha memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang bersifat mesra pelanggan ini berterusan dan sentiasa dilakukan penambahbaikan bagi meminimakan aduan pelanggan. Langkah kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam mentransformasikan dan memodenkan perkhidmatan awam adalah diharapkan akan berjaya dan perlu diisi dengan program-program yang dapat memberi impak dan kesan yang terbaik dalam jangka panjang.
Selain itu, dalam tempoh 5-10 tahun akan datang ini adalah diharapkan penyakit sosial di kalangan penjawat awam menemui penawarnya. Walaupun hasrat itu agak sukar untuk tercapai tetapi kerajaan perlu memastikan usaha dan pemantauan yang berterusan dalam memastikan penyakit sosial seperti masalah rasuah, pecah amanah dan sebagainya ini dapat dikurangkan. Justeru, kerajaan perlu memastikan penerapan nila-nilai murni seperti integriti, amanah dan bertanggungjawab perlu ada pada setiap penjawat awam. Bagi mengekalkan kemajuan negara, sikap buruk seperti amalan rasuah dan menyeleweng perlulah dihindarkan.
Laluan kerjaya perlu dipermudahkan supaya keseluruhan jentera perkhidmatan awam ditunjangi pegawai berwibawa, cemerlang serta mempunyai pengalaman luas untuk diberikan kenaikan pangkat. Ini bermakna tiada lagi istilah pilih kasih diamalkan. Usaha kerajaan dalam memperkenalkan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) jelas melihatkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam Perkhidmatan Awam. Melalui SBPA ini, dapat dilihat perkhidmatan awam bersifat lebih fleksibel dan terbuka serta melahirkan modal insan yang lebih berkualiti. Adalah menjadi harapan supaya dengan pelaksanaan SBPA ini, kakitangan awam dapat meningkatkan produktiviti ke suatu tahap yang tinggi, berprestasi tinggi serta membudayakan cara bekerja baru.
Penjawat awam juga perlu memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan am agar hak dan kepentingan mereka tidak lagi diperlekehkan. Mereka perlu mempelbagaikan lagi kemahiran diri dan tidak hanya bertumpu kepada kemahiran dan kepakaran dalam satu bidang sahaja. Sikap dan mentaliti yang hanya menanti imbuhan dan ganjaran yang bakal diperolehi perlu diubah sekiranya penjawat awam ingin berdaya saing dan setanding dengan penjawat awam di negara-negara luar. Ganjaran dan imbuhan yang diperolehi perlulah seiring dengan sumbangan yang telah mereka beri bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada perkhidmatan awam itu sendiri.
Kesimpulannya, penjawat awam perlulah bersama-sama mengembleng usaha, idea dan tenaga dalam merealisasikan transformasi dan perubahan perkhidmatan awam yang jitu. Dengan adanya kesepakatan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan, maka impian menjadikan perkhidmatan awam sebagai yang terbaik dalam menuju ke arah Wawasan 2020 akan menjadi satu kenyataan.
PB SITI NOOR AZURA BT B SAHARUDIN
840909-14-5108
SIDANG E PTD 1/2011
No comments:
Post a Comment