Pendahuluan
Perkhidmatan awam di Malaysia adalah merupakan tunjang kedaulatan negara kerana ia memberikan gambaran betapa cekap dan berwibawa jentera pentadbiran negara dalam membangun, mengurus dan mengendalikan sumber manusia. Pada dasarnya, perkhidmatan awam adalah dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang bermula sebagai Pejabat Perjawatan Tanah Melayu di Singapura pada 22 Ogos 1934 dan pada hari ini, jumlah kakitangannya telah manjangkau sebanyak 1.2 juta. Nisbah ini adalah agak setara dengan negara lain seperti Korea Selatan yang mempunyai jumlah kakitangan kerajaan seramai 2.1 juta berbanding jumlah penduduk seramai 48.6 juta. Kecekapannya dalam mentadbir dan menguruskan negara juga dapat memastikan rakyat mengecapi keamanan dan ketenteraman sejagat.
Pada dasarnya, Jabatan Perkhidmatan Awam telah memainkan peranan dengan berkesan dalam membekalkan sumber tenaga manusia yang berupaya memberi perkhidmatan yang cemerlang melalui penggubalan dasar dan pengurusan sumber manusia. Walau bagaimapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti, dikaji dan ditambahbaik melalui pendekatan yang holistik dan dogmatik dalam memastikan ianya terus utuh, rasional dan relevan dalam melayari arus globalisasi.
Keseimbangan Antara Kerjaya dan Keluarga
Dalam perkhidmatan awam negara ini, rata-rata elemen keseimbangan di antara kerjaya dan keluarga tidak diterapkan dan tidak menjadi perhatian utama. Ini menyebabkan wujudnya doktrin masyarakat seperti perlunya pulang lewat dari pejabat untuk diklasifikasikan sebagai pekerja yang cemerlang dan pada masa yang sama, masyarakat memandang negatif kapada individu yang balik ‘on-time’ kerana disifatkan sebagai malas. Berbeza dengan negara-negara maju, mereka lebih menitikberatkan konsep kerja berkualiti di mana kakitangan adalah diwajibkan untuk mengosongkan ruang pejabat setelah tamat waktu kerja bagi memastikan mereka meluangkan masa bersama keluarga. Ini dapat memangkinkan para pekerja untuk lebih komited pada tugas-tugas hakiki.
Konsep Penempatan yang lebih Pragmatik
Antara yang menjadi perhatian penjawat awam adalah berhubung dengan penempatan di mana, mereka biasanya lebih cenderung untuk berkhidmat di tempat asal masing-masing. Saya berpandangan, Jabatan Perkhidmatan Awam perlu mempunyai mekanisme atau sistem bagi membuat penempatan kakitangan yang praktikal. Sekiranya mereka boleh berkhidmat di lokasi-lokasi yang memungkinkan mereka dapat bersama keluarga, ianya akan memberikan impak yang besar kepada prestasi perkhidmatan awam secara komprehensif.
Konsep Pembangunan Kerjaya Yang Telus
Perkara lain yang dilihat perlu ditambahbaik adalah dari aspek pembangunan kerjaya atau sistem kenaikan pangkat para penjawat awam. Sehingga kini, adalah didapati ianya tidak diketahui dan difahami oleh seantero penjawat awam serta bersifat delusi justeru menyebabkan mereka tertanya-tanya tentang pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam menentukan kenaikan pangkat seseorang penjawat awam. Sistem ini perlulah bersifat kuantitatif dan mempunyai Standard Operating Procedure yang tidak bersifat budi bicara supaya pegawai-pegawai baru yang duduk di posisi tersebut kelak akan dapat memahami kaedah dan sistemnya seterusnya dapat mengamalkannya. Selain itu, kakitangan awam juga dapat menggunakannya sebagai rujukan dalam memajukan diri sendiri untuk mengecapi kejayaan yang lebih cemerlang dan tidak menganggap kenaikan pangkat itu sebagai bonanza semata-mata.
Kesimpulan
Menerusi implementasi cadangan-cadangan penambahbaikan yang telah disentuh secara ringkas di atas, ianya akan berupaya menempatkan perkhidmatan awam negara ini ke satu peringkat yang lebih tinggi. Seterusnya, dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, kita akan melihat perkhidmatan awam yang cekap, berkarisma dan fleksibel yang berperanan sebagai prasasti yang menjadi rujukan negara-negara lain khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.
SHARMANRIZAL RUSTAM
Ipoh, Perak.
No comments:
Post a Comment