Friday, 6 January 2012

EKSEKTASI TERHADAP PERKHIDMATAN AWAM DALAM TEMPOH 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG


“Bertunjangkan penyampaian perkhidmatan yang mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, maka inisiatif transformasi Perkhidmatan Awam akan dilaksana melalui SBPA yang berpaksikan kepada kepimpinan dinamik, Perkhidmatan Awam kejat, perkhidmatan yang fleksibel, modal insan berkualiti dan saraan yang kompetitif. Ia mengganti Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa sejak tahun 2002. Transformasi Perkhidmatan Awam adalah diperlukan untuk menjayakan agenda pembangunan negara yang termaktub di bawah Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan inisiatif-inisiatif pembangunan yang lain.” Petikan ini telah dipetik daripada pekeliling perkhidmatan bilangan 11/2011 berkenaan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Merujuk kepada petikan di atas, hasrat kerajaan dalam memperkenalkan SBPA telah diterangkan dengan begitu jelas. Sebagai usaha untuk membudayakan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” serta transformasi di kalangan penjawat awam diterjemahkan melalui skim perkhidmatan yang lebih baik. Kewujudan SBPA secara umumnya merupakan situasi menang-menang kepada pihak kerajaan (stakeholder) dan juga penjawat awam. Melalui SBPA, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi penjawat awam bahkan turut memberikan imbuhan yang setimpal di  atas komitmen dan prestasi penjawat awam.

Dalam mengupas isu ekspektasi terhadap perkhidmatan awam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, kerajaan pada hari ini berusaha keras untuk mempertingkatka martabat perkhidmatan awam. Berkekuatan 1.3 juta penjawat awam untuk memberikan perhidmatan kepada 28 juta penduduk negara ini, perkhidmatan awam perlulah bergerak dan berevolusi mengikut peredaran zaman bagi memastikan perkhidmatan awam terus relevan sebagai peyelesai masalah rakyat. Pada hari ini, dapat dilhat bagaimana pimpinan tertinggi negara begitu menekankan kepentingan transformasi serta pemodenan sektor awam bagi merealisasikan gagasan "1 Malaysia:Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan." Melihat kepada keperluan Negara untuk tempoh 10 tahun yang akan datang, perkhidmatan awam perlulah mempunyai daya dinamik yang tinggi terutamanya untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Sebagai salah seorang penjawat awam dan juga rakyat negara ini, menjadi harapan yang menggunung untuk melihat perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan fleksibel dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Pengenalan SBPA merupada salah satu contoh terbaik dalam mentransformasikan perkhidmatan awam kearah tersebut namun, banyak lagi usaha perlu dilakukan. Perkhidmatan awam pada hari ini perlu melihat kembali kaedah serta pelaksanaan perkhidmatan yang diberikan bagi mengurangkan karenah-karenah birokrasi yang wujud. Perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan fleksibel membolehkan jentera kerajaan ini berfungsi dengan lebih efektif bagi mengharungi cabaran dunia globalisasi yang sentiasa berubah-ubah dengan kadar yang semakin hari semakin cepat. Pemodenan melalui pengenalan perkhidmatan atas talian bukan sahaja boleh menjimatkan masa, dan sumber-sumber kerajaan bahkan membantu dalam mengurangkan masalah rasuah yang membimbangkan.

Secara umumnya, kerajaan telah memulakan langkah kea rah perubahan di dalam perkhidmatan awam melalui skim perkhidmatan yang lebih baik dan selebihnya terpulang kepada penjawat awam untuk memacu perkhidmatan awam itu sendiri.

SAIFUL SYARIZAL BIN YAAKOB
Sidang E

No comments:

Post a Comment