Pada masa kini, isu berkaitan perkhidmatan awam (PA) sering diperkatakan seperti kepimpinan penjawat awam yang tidak berintegriti, penjawat awam yang berprestasi kerja rendah, isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan isu-isu berbangkit daripada penemuan oleh Jabatan Audit Negara. Isu-isu ini sedikit sebanyak memberi impak yang negatif terhadap PA yang dianggap sebagai tulang belakang Kerajaan dan negara. Antara cara untuk mengubah persepsi pihak lain terhadap PA adalah dengan mengubah corak kepimpinan di dalam PA itu sendiri.
Dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang, diharapkan terdapat perubahan yang dibawa oleh kepimpinan PA. Diantara perubahan yang perlu dilakukan adalah kepimpinan yang seiring dengan perubahan zaman. Seorang pemimpin bukan hanya tahu mengarah malahan perlu membuat keputusan yang mengambil kira faktor semasa. Kita tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan pandangan segelintir pihak tetapi harus mengambil kira pandangan semua pihak serta mengambil kira kesannya dalam jangka masa panjang.
Selain itu, segala peraturan dan prosedur yang sudah tidak lagi relevan hendaklah diubah supaya mendapat impak yang lebih berkesan. Oleh yang demikian, seseorang pemimpin harus mempunyai kreativiti dan inovasi untuk mencipta sesuatu yang baru dan membuat penambahbaikan terhadap peraturan atau prosedur sedia ada.
Saya juga berpendapat elemen penting yang perlu ada pada diri seorang pemimpin masa hadapan selain dari sikap berwibawa, berintegriti, amanah, bertanggungjawab, komited dalam menjalankan tugas, adil, bersemangat dan sahsiah yang tinggi, seorang pemimpin itu juga perlu mempunyai pegangan yang kukuh kepada prinsip dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak luar.
Dengan pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), akan ada diantara pegawai-pegawai muda pada masa sekarang yang mempunyai prestasi kerja yang baik dan dilihat berpotensi akan menduduki kerusi-kerusi jawatan tertinggi PA di masa hadapan. Dengan adanya pegawai-pegawai muda ini diharap mereka akan mengubah corak kepimpinan serta cara kerja yang biasa kepada yang lebih efektif dan produktif.
Sebagai kesimpulan, diharapkan setiap perubahan yang dilakukan dan perkhidmatan yang ditambahbaik oleh pemimpin masa hadapan akan dapat mewujudkan kesejahteraan kepada rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara Malaysia.
Noorzuliyana Yusuff - 820317105120 - Sidang E
No comments:
Post a Comment