Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan Sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957. Melalui Perlembagaan ini juga, adalah jelas menerangkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang mana kuasa pemerintahan dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Dalam Sistem Pentadbiran negara, Perkhidmatan Awam memainkan peranan yang sangat penting sebagai jentera pentadbiran atau kuasa eksekutif yang melaksanakan dasar-dasar dan keputusan kerajaan bagi mencapai segala objektif dan matlamat negara. Tiga peranan utama perkhidmatan awam ialah Membantu Kerajaan Dalam Penggubalan Dasar-dasar Negara, Memberi Khidmat Nasihat Kepada Kerajaan dan seterusnya Melaksanakan dan Memantau Pelaksanaan Dasar, Program dan Keputusan Kerajaan. Ini secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa apa juga dasar-dasar dan keputusan yang diputuskan oleh kerajaan perlu dilaksanakan oleh setiap individu atau anggota yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam mengikut bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Dalam era pembangunan sejak negara memperolehi kemerdekaan, fungsi perkhidmatan awam telah mengalami banyak perubahan yang mana keseluruhan jentera terutamanya kakitangan kerajaan ditumpukan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta menjamin kepada keamanan, kesejahteraan dan keselamatan awam. Seperti yang saya sebutkan di atas, jentera kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dalam merealisasikan aspirasi negara menerusi pelaksanaan secara berkesan segala dasar, program dan rancangan-rancangan pembangunan oleh kerajaan. Justeru, keupayaan dan kemampuan perkhidmatan awam perlulah dipertingkatkan seiring dengan perkembangan yang berlaku sama ada di dalam atau luar Negara. Pelbagai perubahan perlu dilakukan bagi meningkatkan produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan awam sekiranya kita ingin melihat sama ada fungsi perkhidmatan awam ini masih relevan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.
Perkhidmatan Awam boleh disinonimkan dengan jentera kerajaan yang mana mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan paling rumit di negara ini. Keupayaan jentera kerajaan menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam mencapai pembangunan negara bukan sahaja bergantung kepada bilangan kakitangan perkhidmatan awam yang ada, tetapi juga kepada mutu dan produktiviti kakitangan tersebut. Sikap dan tingkah laku segelintir kakitangan awam yang bekerja sambil lewa adalah sangat merugikan pihak kerajaan bukan sahaja dari segi imej malah juga dari sudut kewangan. Ini disebabkan kos belanja mengurus negara dari setahun ke setahun adalah tinggi dan meningkat bagi membayar gaji mereka ini. Sungguhpun ada langkah-langkah tertentu seperti penswastaan dan usaha mengurangkan perbelanjaan awam, namun perkhidmatan awam akan terus memikul tanggungjawab dan beban yang tinggi. Ini antara lainnya adalah disebabkan oleh keadaan dunia kini yang berubah dengan cepat dan setiap negara berlumba-lumba mencapai kemajuan, Aspirasi dan kehendak rakyat yang semakin meningkat hasil dari peningkatan taraf hidup dan tahap pendidikan mereka, Kemajuan dalam sains dan teknologi, Kekurangan sumber dan Persaingan dengan negara-negara luar.
Perkara-perkara di atas memerlukan langkah-langkah tertentu diambil bagi memastikan produktiviti sektor awam dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai terus meningkat. Malah, ia juga amat penting bagi menaikkan taraf dan imej perkhidmatan awam di mata rakyat. Dengan itu perubahan-perubahan pentadbiran dan pemodenan birokrasi bagi meningkatkan produktiviti yang dapat dinilai menerusi peningkatan kecekapan, keberkesanan dan kualiti perkhidmatan perlu dibuat melalui penggubalan dan pelaksanaan beberapa dasar dan program tertentu. Dasar-dasar pembaharuan ini mempunvai objektif seperti, Meningkatkan keupayaan dan produktiviti sektor awam supaya ia dapat memainkan peranannya dalam meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang menyumbang ke arah pembangunan negara secara keseluruhannya, Memastikan sumber-sumber negara digunakan secara optimum dan Meningkatkan jumlah dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai.
Peranan perkhidmatan awam untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar dan berat dan ini tidak membenarkan pegawai awam setakat menjalankan tugas atau melaksanakan dengan cara yang sedia ada, sebaliknya perlu memikirkan cara-cara baru untuk memperbaikinya. Pemikiran ‘systems maintenance’ tidak lagi sesuai dalam keadaan sekarang dan harus diubah kepada pemikiran berbentuk kreatif dan inovatif yang mana pegawai awam patut bersikap proaktif. Ini hanya dapat dicapai jika mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi disertai dengan sikap yang positif, peribadi yang mulia dan nilai-nilai yang unggul. Ini bagi menjamin keberlangsungan kepentingan perkhidmatan awam pada masa akan datang terutamanya pada tahun 2020.
Langkah-langkah yang diterangkan di atas adalah merupakan sebahagian dari tindakan penjawat awam didalam perkhidmatan awam untuk memperbaiki perkhidmatannya. Ia mencerminkan pemikiran bahawa pembentukan peribadi dan pemodenan sistem haruslah berjalan seiring jika kemajuan dan pembangunan negara ingin dicapai. Agensi-agensi Kerajaan perlu bekerja lebih dengan cara yang lebih baik dan lebih dekat kepada pengguna dan juga rakyat. Walaupun perubahan-perubahan dan pembaikan secara menyeluruh adalah sukar kerana saiz perkhidmatan awam yang besar, fungsi yang luas dan peraturan-peraturan yang menyeluruh, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mencuba atau menjalankan perubahan-perubahan tersebut. Dalam hal ini apa yang sangat-sangat diperlukan ialah pengurus awam atau pegawai kerajaan yang berkeupayaan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang boleh dicontohi dan mampu menghadapi pelbagai cabaran mendatang dengan positif dan hati terbuka.
NURHANNA HAKIM
SIDANG E
DPA 1/2011
No comments:
Post a Comment