Ekspetasi menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud harapan atau jangkaan. Bagi memperhalusi definisi Perkhidmatan Awam, saya merujuk kepada pengertian oleh Dr. Ahmad Atory Husin yang mentakrifkan Pentadbiran Awam sebagai sebuah organisasi yang menguruskan manusia dan hartabenda untuk mencapai tujuan kerajaan. Manakala tempoh masa 5 hingga 10 tahun merupakan satu tempoh dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (2011 - 2015) dan Wawasan 2020.
Salah satu intipati dalam RMK 10 yang menyentuh Perkhidmatan Awam adalah bagi “Mentransformasikan Kerajaan ke arah Mentransformasikan Malaysia. Prinsip transformasi yang dituntut adalah seperti berikut:
- Penyampaian berteraskan kreativiti dan inovasi.
- Penekanan kepada kepantasan membuat keputusan dan bertindak.
- Penyampaian berteraskan nilai untuk wang (kurang pembaziran),
- Memartabat nilai integriti yang tinggi,
- Mereka Bentuk Perkhidmatan yang Cekap dan Mudah kepada Rakyat dan Perniagaan.
Sekiranya melihat kepada tempoh 10 tahun pula, wawasan 2020 selayaknya menjadi kayu ukur. Pada tahun 2020 kita sepatutnya melihat Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian, dengan penekanan tetap diberikan kepada pembangunan aspek sosial dan cara hidup. Ke arah ini, digariskan bahawa Negara memerlukan kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan yang berkesan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.
Oleh itu, ekspetasi terhadap Perkhidmatan Awam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, saya melihat kepada harapan untuk melihat sebuah organisasi kerajaan yang amat dihormati dan disegani. Ini adalah kesinambungan daripada mutu perkhidmatan yang amat cekap serta berintegriti tinggi yang dipamirkan oleh Penjawat-Penjawat Awam. Perkhidmatan Awam ketika itu menjadi penggerak utama kepada sebuah Negara Perindustrian yang berdaya saing.
Dalam memenuhi ekspetasi ini, pemain utama adalah penjawat-penjawat awam yang ada pada hari ini dan yang bakal dilantik pada masa akan datang. Sukar didangkal kepincangan yang yang telah mencalarkan imej Perkhidmatan Awam pada hari ini adalah disebabkan sikap segelintir penjawat awam itu sendiri. Sebagai contoh akhbar Berita Harian bertarikh 6 Januari 2012 telah melaporkan seorang Pegawai Kanan Kerajaan dari Jabatan Perhutanan berada dalam siasatan SPRM kerana menyimpan wang tunai sebanyak RM 700 ribu dan mempunyai aset pelaburan lebih RM 4 juta. Mungkin tidak menghairankan apabila Index Persepsi Rasuah Negara 2011 semakin merundum. Malaysia berada di kedudukan yang ke 60 dengan mengumpul 4.3 mata, jatuh 4 anak tangga. Seterusnya, dalam akhbar yang sama bertarikh 25 Disember 2011 melaporkan yang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memohon maaf kepada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, atas kesulitan ketika berurusan di pejabat JPN Kuching, Sarawak, semasa memohon Mykad anak perempuannya. Isu itu timbul kerana petugas kaunter berkenaan tidak merujuk pegawai atasan bagi kes yang meragukan.
Statistik kes tatatertib juga amat membimbangkan. Tahun 2008 sahaja telah mencatatkan peningkatan sebanyak 36.2 peratus kes. Stigma masyarakat juga masih tebal dalam melabel kakitangan kerajaan sebagai kurang cekap, kurang pantas dan kurang bertanggungjawab. Perbalahan antara skim penjawatan juga sudah semakin rancak dan terbuka dalam mempersoalakan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Pengaruh politik dalam mempengaruhi sesuatu keputusan merupakan sesuatu yang tidak asing lagi. Arahan Top-Bottom juga acapkali menimbulkan konflik apabila suara bawahan tidak dibawa ke meja bulat.
Untuk menakluki ekspetasi Perkhidmatan Awam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, segala bentuk kerenah ini perlu diatasi terlebih dahulu. Penjawat Awam memerlukan Keyakinan yang Benar untuk merealisasikan impian ini. Keyakinan ini meliputi:
· Keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri.
· Keyakinan terhadap pekerjaan yang dilakukan.
· Keyakinan terhadap kepimpinan.
· Keyakinan hasil yang baik datangnya dari gerak kerja yang betul dan berintegriti.
Jika prestasi sekarang diambil kira dan tiada perubahan drastik yang dilakukan, mungkin hanya 50% sahaja ekspetasi yang digarapkan terhadap Perkhidmatan Awam dapat dipenuhi dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang.
Mohd Haikal bin Mohd Yusuff
Sidang E
DPA 1 / 2011
No comments:
Post a Comment