Friday, 6 January 2012

EKSPEKTASI TERHADAP PERKHIDMATAN AWAM DALAM TEMPOH 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG


Di kalangan negara-negara membangun, Perkhidmatan Awam di Malaysia adalah antara yang terbaik dari segi peranan dan sumbangan. Semenjak kemerdekaan hingga kini, perkhidmatan awam telah melalui pelbagai fasa pembinaan dan pembangunan yang pesat, untuk menjadi sebuah perkhidmatan yang lebih sempurna dan moden. Perkhidmatan awam mempunyai peranan yang amat besar dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing.

Perkhidmatan awam juga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk membentuk sebuah negara yang berdaulat, aman dan makmur. Pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara perlu dihadapi oleh para penjawat awam bagi memastikan segala dasar dan perancangan yang direncana oleh YAB Perdana Menteri ke arah mentransformasikan negara menjadi negara maju menjelang 2020 tercapai.

Rakyat Malaysia pada hari ini mudah mencapai maklumat dan lebih berpengetahuan. Mereka lebih lebih sedar tentang hak-hak mereka dan kewajipan para penjawat awam. Mereka berupaya membandingkan pengalaman mereka dengan apa yang berlaku di negara lain, dan dengan itu merasa kurang berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan. Oleh itu Perkhidmatan Awam perlu meningkatkan kualiti sistem penyampaiannya ke arah perkhidmatan awam yang bermutu, pengurusan awam yang baik dan telus.

Sebahagian rakyat Malaysia sentiasa mempunyai imej negatif terhadap perkhidmatan awam. Walaupun beberapa langkah telah diambil, perkhidmatan awan masih dianggap birokratik, lembab, tidak mesra, tidak responsif kepada keperluan rakyat, serta tidak cekap dan tidak profesional dalam menjalankan tugas. Ini kerana ramai rakyat yang pernah mengalami layanan kurang memuaskan daripada kakitangan Kerajaan. Urusan tanah misalnya, terkenal dengan proses yang mengambil masa begitu lama, hingga bertahun-tahun, walaupun semua syarat telah dipenuhi.

Imej perkhidmatan awam juga dicemari dengan gejala rasuah. Ini dikatakan berlaku kerana perkhidmatan awam mempunyai kuasa pentadiran dan penguatkuasaan undang-undang sehingga mudah melakukan rasuah. Karenah birokrasi, layanan kurang mesra, dan gejala rasuah boleh menyebabkan perkhidmatan awam dipandang rendah. Rakyat akan menjadi sinis terhadap apa-apa usaha perkhidmatan awam, dan menganggap jentera perkhidmatan awam tidak boleh diharap.

Sehubungan ini adalah wajar agar setiap penjawat awam mengambil pendekatan yang sewajarnya untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ini agar tidak berlarutan. Sekiranya tidak dibendung, ia akan menjejaskan usaha-usaha pembangunan negara, rakyat akan mundur dan menderita, dan penjawat am tidak terkecuali dalam menanggung kesusahan. Dengan itu, para penjawat awam harus memperbaiki kelemahan-kelemahan sedia ada, menangani cabaran yang bakal dihadapi, dan menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebuah perkhidmatan yang bertaraf dunia.

Antara langkah yang boleh diambil ialah memupuk minda dan sikap kakitangan perkhidmatan awam yang positif,  mementingkan kepuasan pelanggan, mengkaji semula prosedur kerja yang tidak perlu, mengurangkan birokrasi, meningkatkan ketelusan dan kemesraan, mengamalkan etika yang luhur, menanam komitmen yang sepenuhnya kepada etika pentadbiran awam, meningkatkan pengetahuan yang relevan dan berguna serta meningkatkan kemahiran dalam bidang berkaitan. Akhir sekali ialah meningkatkan mutu kepimpinan. Kepimpinan yang baik dapat memberi wawasan dan pemikiran strategik kepada sesebuah organisasi. Kepimpinan yang berwibawa juga dapat memberi inspirasi dan dorongan yang baik kepada kakitangan dan dapat menggembeling seluruh tenaga untuk bergerak pantas ke arah matlamat yang telah di tetapkan.



Nubairi bin Basarudin
851006-08-6083
Sidang E
DPA 1/2011

No comments:

Post a Comment