Setiap tahun, Perkhidmatan Awam sentiasa memperkemas dasar-dasar sedia ada dan merangka pelbagai dasar baru dengan tujuan untuk memantapkan lagi penyampaian dalam Perkhidmatan Awam. Perkhidmatan Awam pada era transformasi ini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menangani perubahan persekitaran yang dapat memberi kesan langsung kepada ekspektasi rakyat dan stakeholders. Bagi mencapai peningkatan dan perubahan dalam Perkhidmatan Awam, salah satu teras strategik penting yang diberikan fokus dalam agenda transformasi sektor awam adalah memperkasakan agensi barisan hadapan. Peranan agensi-agensi barisan hadapan yang terlibat adalah begitu kritikal bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai perkhidmatan yang diperlukan sama ada oleh pelabur mahupun penggiat industri.
Dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, Perkhidmatan Awam dilihat mampu untuk menjadi sebuah perkhidmatan yang benar-benar menyumbang ke arah pembangunan fizikal negara dan modal insan yang berkualiti tinggi. Sistem perkhidmatan di kalangan penjawat awam itu sendiri juga mengalami perubahan ke arah pemantapan kualiti modal insan minda kelas pertama. Daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah digunapakai, Perkhidmatan Awam kini menuju ke arah Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Sistem ini merupakan salah satu pendekatan dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan ke arah transformasi yang selari dengan era globalisasi. Penilaian ke atas pegawai juga dilaksanakan melalui kaedah PROSPEK. PROSPEK melibatkan elemen penilaian dan pembangunan kompetensi serta potensi pegawai. Penilaian adalah bertujuan untuk mengenal pasti kompetensi dan potensi pegawai untuk menyandang gred lebih tinggi yang dibuat berasaskan kompetensi pegawai dalam melaksanakan tugas semasa. Pegawai yang melepasi tahap penilaian yang ditentukan, seterusnya dibangunkan kompetensi dan potensinya bagi memastikan pegawai berkaliber untuk melaksanakan tugas di gred yang lebih tinggi.
Penilaian yang semakin baik dalam Perkhidmatan Awam menambah keyakinan rakyat terhadap penjawat awam. Namun begitu, pada masa hadapan, persepsi rakyat ke atas agensi Kerajaan yang mempersoalkan tahap integriti pegawai awam khususnya anggota penguat kuasa mesti dihapuskan. Isu ini boleh ditangani dengan berkesan melalui kajian ke atas prosedur yang berkenaan supaya menjadi lebih telus dan mengurangkan ruang-ruang salah laku dan penyelewengan. Pada masa yang sama agensi perlu membangunkan pelan integriti dan meningkatkan program-program yang boleh menyuburkan nilai-nilai murni dalam organisasi. Walaupun Indeks Persepsi Rasuah menunjukkan tahap gejala rasuah di negara kita belum berada di tahap yang kritikal, tetapi kerajaan harus mengambil langkah pantas dan tepat untuk memastikan tahap integriti di kalangan penjawat dalam ditingkatkan seterusnya mampu memberikan imej yang baik dalam Perkhidmatan Awam.
Semua peringkat warga dalam sesebuah agensi juga haruslah bersedia untuk merubah minda dan cara bekerja supaya dapat menerima dan menggerakkan inisiatif-inisiatif transformasi yang diperkenalkan mencakupi keseluruhan aspek organisasi. Budaya kecemerlangan harus ditanam yang berteraskan kerja prestasi tinggi dan strategik dalam setiap tindakan yang dilaksanakan di semua peringkat dalam agensi. Sekiranya semua pihak menyedari akan peranan yang harus dimainkan, Perkhidmatan Awam mampu menjadi sebuah perkhidmatan yang wajar dicontohi oleh negara-negara maju yang lain dalam memandu pencapaian matlamat dan wawasan kerajaan. Dengan pengurusan Perkhidmatan Awam yang cekap dan terbaik, ini seterusnya dapat melahirkan penjawat awam dan sumber modal insan yang cemerlang dan seterusnya dapat merealisasikan matlamat dan Wawasan 2020 menjelang 8 tahun lagi.
RUZAIMAH BINTI LATIF
SIDANG E
LEGASI
DPA BIL. 1/2011
No comments:
Post a Comment