Perkhidmatan awam (PA) telah menunjangi perjalanan suka duka negara sejak era pra-kemerdekaan. PA jugalah yang bersama-sama pemimpin-pemimpin negara, terdahulu dan kini, dalam membangunkan negara dari pelbagai cabang kehidupan. Melihat kepada pentingnya peranan PA, ekspetasi rakyat amnya dan anggota PA khususnya adalah amat tinggi ke atas kepimpinan PA pada masa hadapan. Ia adalah kerana, ‘zaman emas’ teknologi maklumat menjadikan rakyat lebih bijak berbanding dahulu. Era rakyat hormat dan patuh kepada Kerajaan telah lama berakhir dan kini rakyat berkeupayaan mempengaruhi tindakan Kerajaan.
Justeru, adalah diharapkan agar ciri kepimpinan perkhidmatan awam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang dapat berkembang seiring dengan peredaran masa dan tidak lagi dibelenggu dengan gaya pemikiran kolot dan lapuk. Pemimpin PA wajar lebih tegas dan lantang membantah sekiranya merasakan sesuatu dasar atau projek itu mampu membawa kerugian. Pemimpin PA juga perlu lebih tegas kepada anggota PA itu sendiri. Dasar-dasar baru yang efektif perlu digubal supaya PA tidak lagi menjadi ‘tempat’ untuk mereka yang suka bermalas-malas dan tiada cita-cita dalam kerjaya. Ia hanya akan menjejaskan imej PA itu sendiri.
Dasar-dasar yang dilihat tidak relevan seperti umur bersara wajib yang dinaikkan ke 60 tahun, harus diberi pertimbangan semula kerana tidak semua anggota PA ingin meneruskan kerjaya di ‘waktu senja’ kehidupan mereka. Tambahan pula, persaraan wajib di umur yang lebih muda mampu membuka ruang dan peluang kepada bakal pemimpin-pemimpin muda menerajui PA.
Seperti juga rakyat yang semakin bijak, anggota PA di peringkat pelaksana juga tidak ketinggalan. Oleh yang demikian, potensi dan bakat mereka harus diketengahkan. Kreativiti mereka harus dicungkil semaksimum mungkin. Mentaliti kepimpinan PA pada masa hadapan wajar lebih terbuka dan penyaluran pendapat/ idea bukan lagi bersifat one way flow iaitu dari top management kepada lower subordinate. Idea dari anggota kumpulan pelaksana harus dipertimbang dan diterima dengan ikhlas hati. Zaman ‘boss knows everything’ sudah berlalu dan oleh yang demikian perubahan minda adalah perlu.
Sebagai rumusannya, kepimpinan PA pada masa hadapan perlu lebih sensitif dengan keluh kesah anggota PA. Kepimpinan PA juga wajar berupaya untuk merawat kudis yang mencalari imej PA sejak sekian lama. Pandangan klise rakyat bahawa anggota PA adalah pemalas harus dihapuskan dengan tindakan-tindakan yang membuktikan perubahan sikap anggota PA.
Azrai Zaini
No comments:
Post a Comment