Friday, 6 January 2012

EKSPEKTASI SAYA TERHADAP PERKHIDMATAN AWAM DI MALAYSIA DALAM 5-10 TAHUN AKAN DATANG

Oleh: Mohd Zulfahmi bin Othman (860718085139) Sidang E

Jika dihitungkan usia Perkhidmatan Awam di Malaysia, telahpun mencapai ratusan tahun dan pada hari ini kita telah melangkah ke tahun 2012, dan secara tidak langsung memasuki fasa terakhir menuju ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi sepertimana yang telah dirangka melalui Wawasan 2020. Untuk mencapai wawasan tersebut, pelbagai pendekatan dan perancangan dalam merealisasikan wawasan ini telah dilaksanakan. Pendekatan dan usaha ini memberi keutamaan dalam pembentukan anggota Perkhidmatan Awam yang mempunyai tahap motivasi tinggi, seronok bekerja dan berupaya menghasilkan output dan outcome berkualiti tinggi menjelang tahun 2020.

Pada pendapat saya, untuk tempoh antara 5 hingga 10 tahun akan datang, ekspektasi yang mungkin terjadi dalam Perkhidmatan Awam adalah jawatan-jawatan tertinggi akan didominasi oleh pegawai-pegawai muda (sekitar 40 tahun dan ke atas) yang berkebolehan dan berkelayakan untuk menduduki jawatan tertinggi tersebut dalam kementerian/jabatan/agensi Kerajaan. Ini tidak lagi dilihat sebagaimana amalan biasa pengisian jawatan tersebut yang memberi keutamaan kepada pegawai-pegawai senior berkebolehan dan berkelayakan namun mempunyai baki perkhidmatannya kurang dari 2-3 tahun. Keadaan ini memperlihatkan mereka tidak berpeluang sepenuhnya untuk memberi sumbangan dan perkhidmatan serta perubahan yang lebih setelah dilantik disebabkan kekangan tempoh perkhidmatan yang sedia ada. Sehubungan ini, melalui langkah mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam dengan para pegawai muda diharapkan memberikan nafas dan lonjakan baru dalam Perkhidmatan Awam melalui penerimaan dan kemasukan pelbagai idea bernas, pedekatan serta inovasi baru oleh pegawai-pegawai berprestasi tinggi ini.   

Selain itu, saya berpandangan bahawa Perkhidmatan Awam pada 5-10 tahun akan datang akan berteraskan sepenuhnya kepada perkhidmatan secara atas talian (online) melalui penggunaan sepenuhnya aplikasi ICT yang semakin canggih dari semasa ke semasa. Perubahan ke arah aplikasi pintar ini membolehkan pengguna/rakyat boleh mendapatkan atau memperolehi perkhidmatan dari jabatan/agensi Kerajaan dengan lebih cepat, mudah dan bila-bila masa serta di mana sahaja. Pada ketika ini penggunaan borang atau proses kerja yang memerlukan pelanggan/rakyat hadir sendiri ke jabatan/agensi mungkin tidak lagi perlu atau relevan lagi kerana rakyat hanya perlu sekadar klik pada komputer mereka dari rumah sahaja.

Selain itu, pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai 1 Januari 2012 yang diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sedikit sebanyak  akan  membawa perubahan dan impak yang besar terhadap Perkhidmatan Awam dalam tempoh 2-3 tahun akan datang. Pelaksanaan yang menyeluruh yang berorientasikan kepada full individual performance akan mengubah suasana dan persekitaran Penjawat Awam kelak. Mereka yang tidak mencapai prestasi yang memuaskan akan diberikan exit policy manakala yang berpotensi dan berprestasi tinggi akan mempunyai peluang kenaikan pangkat lebih luas. Dengan pengenalan sistem saraan yang berorientasikan pembudayaan prestasi ini diharap dapat mengubah corak kepimpinan serta cara kerja yang biasa kepada yang lebih efektif dan produktif di samping masih mengekalkan fungsi dan imej Perkhidmatan Awam sedia ada khususnya dan Penjawat Awam amnya untuk sentiasa ditambah nilai dan ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi mengharumkan nama Perkhidmatan Awam di hati rakyat. Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment