Friday, 6 January 2012

EKSPEKTASI TERHADAP KEPIMPINAN PERKHIDMATAN AWAM DALAM TEMPOH 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG


            Mengharungi arus globalisasi dan pemodenan, Perkhidmatan Awam tidak dapat lari daripada cabaran lebih – lebih lagi apabila Perkhidmatan Awam dilihat sebagai tunjang utama bagi memacu Negara menuju Wawasan 2020 yang hanya tinggal lapan (8) tahun sahaja lagi untuk dicapai. Melihat dari aspek ekonomi dan pembangunan, tidak salah sekiranya kita dapat simpulkan disini bahawa Wawasan 2020 mungkin tidak dapat dicapai sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah – langkah yang lebih realistik bagi membolehkan Negara kita mencapai status Negara maju menjelang 2020.
            Perkhidmatan Awam dilihat perlu memainkan peranan yang amat penting dan perlulah bersifat lebih kompetitif seiring dengan kemajuan Negara. Ini boleh dicapai sekiranya kita dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan meyakinkan rakyat bahawa Perkhidmatan Awam pada masa kini lebih reliable, flexible, competitive and always a step ahead selaras dengan slogan yang dilaungkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu “1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Ianya hanya akan berlaku sekiranya Perkhidmatan Awam di Negara kita menjalani satu transformasi minda secara total bagi memastikan hala tuju dan matlamat utama Negara tercapai.
            Sepertimana yang kita dapat lihat, imej negatif Perkhidmatan Awam pada masa kini seringkali dijadikan isu utama media –media tempatan. Apa tidaknya, banyak kes rasuah, pecah amanah dan perkhidmatan yang tidak telus dan cekap sering terpapar di dada akhbar, televisyen dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa Perkhidmatan Awam masih lagi mengamalkan mentaliti lapuk dan ianya berpunca daripada ketidakseragaman ataupun lebih tepat lagi, “esprit de corps” yang tidak kukuh dikalangan penjawat awat. Perbezaan dari segi umur dan latar belakang menyebabkan wujudnya gap diantara barisan kepimpinan dan barisan pelaksana. Kepimpinan perkhidmatan Awam seharusnya bersifat lebih terbuka dan boleh menerima pendapat dan tidak seharusnya mengamalkan birokrasi dalam kepimpinan. Ini akan mewujudkan ruang bagi sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab memanipulasi sistem yang terdapat dalam perkhidmatan dan menyebabkan wujudnya pelbagai gejala negatif dalam perkhidmatan awam.
            Kepimpinan dalam perkhidmatan awam juga perlulah bersikap lebih agresif dalam membuat sesuatu keputusan. Sebagai contoh, kita seharusnya memperkenalkan dasar “exit policy” bagi menyingkirkan mana – mana penjawat awam yang kurang kompeten atau digelar “deadwood” seterusnya meyakinkan rakyat bahawa perkhidmatan awam bukanlah tempat “honeymoon” atau “pekerjaan paling selamat sebab ada pencen dan confirm tidak dibuang kerja”. Ini adalah salah satu contoh bahawa Perkhidmatan Awam sekarang adalah lebih kompetitif. Kepimpinan Perkhidmatan Awam juga perlu lebih terbuka dalam menerima idea – idea daripada golongan muda yang dilihat akan mencorakkan Perkhidmatan Awam dalam masa  20 tahun akan datang. Seharusnya kepimpinan kita tidak mengamalkan “one man show” atau “boss knows everything” dalam menjalankan tugas. Dasar – dasar lama perlu dilihat semula agar perjalanan perkhidmatan lebih lancar dan berkesan. Perkhidmatan Awam masa kini perlu lebih relevan dalam urusan – urusan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mahupun penjawat awam itu sendiri.
            Kepimpinan dalam Perkhidmatan Awam akan menghadapi cabaran yang amat getir pada masa kini dan akan datang lebih – lebih lagi dengan arus pemodenan yang pesat, rakyat yang lebih bijak dan ekspektasi terhadap Perkhidmatan Awam itu sendiri yang amat tinggi. Jadi, ianya harus dibentuk dari sekarang supaya pada masa akan datang, Perkhidmatan Awam tidak lagi dipandang negatif dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kepimpinan Perkhidmatan Awam seharusnya diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan supaya lebih berdaya saing, kompetitif dan bijak dalam membuat keputusan dan menghadapi cabaran arus globalisasi bagi memastikan Perkhidmatan Awam sentiasa relevan.

Faiz Zainol
Sidang E, LEGASI
DPA Bil. 1/2011

No comments:

Post a Comment