Friday, 6 January 2012

EKSPEKTASI TERHADAP PERKHIDMATAN AWAM DALAM TEMPOH 5 HINGGA 10 TAHUN AKAN DATANG


1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan adalah merupakan slogan yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Menteri Malaysia yang keenam iaitu Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Jentera penggerak bagi merealisasikan slogan-slogan ini adalah penjawat awam. Penjawat awam merupakan tulang belakang perkhidmatan awam dan pentadbiran negara, Penjawat awam adalah merupakan golongan yang terpilih untuk menerajui hala tuju negara. Bukan semua rakyat Malaysia terpilih atau dipilih untuk memacu dan melaksanakan dasar-dasar negara. Walaubagaimanapun, sebagaimana yang kita semua sedia maklum dewasa ini perkhidmatan awam menghadapi pelbagai cabaran. Pelbagai kritikan dan tohmohan dilemparkan kepada penjawat awam sebagai contoh isu rasuah di kalangan kakitangan kerajaan.
Apakah yang akan terjadi dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun yang akan datang? Jika dulu kita dikejutkan dengan penangkapan beramai-ramai penjawat awam yang terlibat dengan rasuah sehingga rakyat hilang kepercayaan kepada penjawat awam. Saya berpandangan agar semua penjawat awam perlu memulihkan pandangan rakyat terhadap perkhidmatan awam. Sikap integriti perlu ditanam dalam jiwa dan diri penjawat awam bagi meletakkan nama baik perkhidmatan awam di mata rakyat. Sekiranya sikap integriti dipandang enteng oleh penjawat awam, saya yakin kedudukan perkhidmatan awam akan semakin teruk dalam tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, kini  jawatan Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah sesebuah Kementerian atau Jabatan telah dibuka kepada bukan penjawat awam. Sedikit sebanyak perkara ini telah menjejaskan skim perkhidmatan awam. Penjawat awam telah hilang keistimewaan di mana sebelum ini jawatan-jawatan tersebut hanya akan dipegang oleh penjawat awam. Pemimpin-pemimpin tertinggi Kerajaan perlu melakukan sesuatu agar keistimewaan ini dapat dikekalkan atau dikembalikan.
Hanya tinggal lapan tahun lagi bagi negara Malaysia merealisasikan Wawasan 2020. Mampukah kita mencapai impian tersebut? Tanggungjawab ini sebenarnya boleh dikatakan terletak di tangan penjawat-penjawat awam dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam perlu berubah ke arah yang lebih positif dan menjadi pelaksana tanggungjawab dan amanah yang lebih berintegriti. Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan diharapkan dapat memberi suntikan semangat baru kepada penjawat awam seluruhnya.

NURUL WIDANI BINTI MOHAMED
SIDANG E
DPA 1/2011

No comments:

Post a Comment