Perkhidmatan awam daripada sudut pandangan keseluruhan rakyat, tidak kira sama ada orang awam mahupun penjawat awam, adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk rakyatnya, sama ada secara langsung melalui sektor awam ataupun secara tidak langsung melalui peruntukan pembiayaan ke atas pihak swasta.
Apabila saya ditugaskan untuk menulis artikel tentang harapan kepada perkhidmatan awam untuk 5 hingga 10 tahun akan datang, saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya daripada kedua-dua perspektif iaitu saya sebagai seorang penjawat awam dan juga sebagai orang awam. Harapan utama saya adalah semestinya untuk memperkasakan perkhidmatan awam pada masa akan datang dan ia haruslah dijadikan sebagai salah satu daripada agenda utama pihak kerajaan bagi mewujudkan sektor awam yang cemerlang.
Isu pertama adalah berkenaan dengan kualiti perkhidmatan awam yang perlu dipertingkatkan. Pandangan stereotaip tentang kualiti perkhidmatan awam pada masa sekarang hendaklah dilenyapkan sama sekali. Sebagai seorang penjawat awam, saya berharap untuk memastikan prestasi perkhidmatan awam memenuhi tuntutan dan harapan keseluruhan “pelanggan” dan sebagai orang awam, sudah tentulah saya mengharapkan perkhidmatan awam bertaraf kelas pertama. Oleh itu, tumpuan kepada usaha memenuhi harapan dan kehendak rakyat haruslah dipertingkatkan. Ini dapat dilaksakan dengan pembentukan modal insan yang berkualiti dengan jati diri yang cemerlang yang dapat menyediakan perkhidmatan awam yang cekap, cepat, efisien, berintegriti dan mesra rakyat. Pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlulah dijalankan secara berterusan.
Harapan seterusnya adalah untuk mempertingkatkan tahap penghayatan nilai-nilai murni di kalangan penjawat awam bagi melahirkan tenaga kerja yang bertanggungjawab, berakauntabiliti dan berintegriti. Masyarakat pada masa kini lebih kompleks, lebih prihatin dan harapan rakyat adalah diluar jangkaan. Sehubungan itu, bagi mendapatkan keyakinan “pelanggan” perkhidmatan awam, perkhidmatan yang telus haruslah menjadi keutamaan. Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlulah mengkaji, mengemaskini dan melaksanakan penambahbaikan sistem prosedur kerja bagi melaksanakan amalan tadbir urus yang baik. Selain itu, perlaksaan pengurusan kewangan dan sumber-sumber hendaklah dijalankan secara berhemah.
Di samping itu, budaya kerja penjawat perkhidmatan awam harus diperbaiki. Isu ini sebenarnya berkait rapat dengan kualiti perkhidmatan awam yang telahpun saya usulkan. Namun ia tidak kurang pentingnya untuk diketengahkan. Sebagai seorang penjawat awam, saya akui tentang keterdapatan kepincangan dalam budaya kerja penjawat perkhidmatan awam. Saya tidak katakan kesemua penjawat awam itu sama, tetapi jika dilihat daripada pandangan secara keseluruhan, ya, kepincangan itu boleh dikatakan agak jelas. Oleh itu, adalah menjadi harapan saya supaya budaya kerja penjawat awam dapat diperbaiki pada masa akan datang. Setiap penjawat awam haruslah lebih berdaya saing dan dalam hal ini mungkin sektor swasta dapat dijadikan contoh yang baik.
Sekiranya perkhidmatan awam dapat diperkasakan dan kesemua harapan-harapan yang diketengahkan terlaksana – kualiti perkhidmatan awam bertaraf kelas pertama, tahap penghayatan nilai-nilai murni yang tinggi dan budaya kerja yang berdaya saing – kita akan dapat melihat moto 1Malaysia dapat direalisasikan, “Pencapaian Diutamakan, Rakyat Didahulukan”, dan itulah harapan saya secara amnya.
Noraini binti Ahmad
840815-14-5318
Sidang E
No comments:
Post a Comment