Saturday, 31 December 2011

Ekspektasi anda terhadap perkhidmatan awam dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang

                    Tajuk yang diberikan ini merupakan topik yang sesuai sekali dibincangkan pada masa kini memandangkan kebelakangan ini pelbagai perubahan yang berlaku kepada perkhidmatan awam.
                    Ekspektasi saya terhadap perkhidmatan awam dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang adalah agar berlaku perubahan terhadap kualiti perkhidmatan awam dan agar masyarakat tidak lagi mempunyai pandangan yang negatif terhadap kualiti perkhidmatan awam yang dikatakan lambat dan tiada integriti. Perubahan minda dan cara bekerja penjawat awam harus berubah agar dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam. Penjawat awam seharusnya dikejutkan dari tidur dan pelbagai langkah perlu dilakukan agar dapat mengubah minda dan kualiti perkhidmatan awam.
        Pelancaran Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sedikit sebanyak diharap dapat membawa perubahan kepada perkhidmatan awam. Pada pendapat saya, dengan adanya Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sedikit sebanyak ia akan membantu dalam merubah perkhidmatan awam pada masa akan datang. Penilaian yang dilakukan sama seperti pihak swasta akan menunjukkan siapa yang benar-benar melakukan kerja atau sekadar “curi tulang”.
       Dengan adanya Program Transformasi Kerajaan, sedikit sebanyak ia telah membuka langkah baru dalam merealisasikan Wawasan 2020. Saya yakin, pelbagai langkah telah diambil bagi membaiki mutu perkhidmatan awam sebagai contoh seperti yang telah dilakukan oleh pihak MAMPU dengan mempelbagaikan usaha dalam membantu agensi-agensi dari segi pelaksanaan proses kerja. Kerjasama di antara agensi-agensi dan kementerian juga penting bagi memastikan pelaksanaan perubahan ke atas kualiti perkhidmatan awam dan kejayaan transformasi sektor awam.
       Kebelakangan ini, isu integriti penjawat awam sering diperkatakan. Ia sedikit sebanyak telah memberi gambaran yang buruk terhadap penjawat awam. Oleh itu, nilai-nilai murni perlu diserap di dalam jiwa setiap penjawat awam dan tindakan yang lebih berat perlu diambil terhadap pesalah-pesalah ini. Pendekatan yang lebih radikal juga perlu diambil untuk menyelami hati penjawat awam yang mempunyai masalah integriti agar tidak berulang atau terjadi kepada penjawat awam lain.
       Akhir sekali, transformasi terhadap perkhidmatan awam dapat dilakukan sekiranya setiap penjawat awam dapat memberi tumpuan dan daya usaha dalam memastikan pelaksanaannya agar dapat memenuhi kehendak rakyat dan dapat memenuhi ekspektasi semua pihak.

Norazlila Ismail
801201-05-5252
Sidang E

Tuesday, 27 December 2011

Ekspetasi terhadap kerajaan dalam 5 tahun yang akan datang

Perkhidmatan awam daripada sudut pandangan keseluruhan rakyat, tidak kira sama ada orang awam mahupun penjawat awam, adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk rakyatnya, sama ada secara langsung melalui sektor awam ataupun secara tidak langsung melalui peruntukan pembiayaan ke atas pihak swasta.

Apabila saya ditugaskan untuk menulis artikel tentang harapan kepada perkhidmatan awam untuk 5 hingga 10 tahun akan datang, saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya daripada kedua-dua perspektif iaitu saya sebagai seorang penjawat awam dan juga sebagai orang awam. Harapan utama saya adalah semestinya untuk memperkasakan perkhidmatan awam pada masa akan datang dan ia haruslah dijadikan sebagai salah satu daripada agenda utama pihak kerajaan bagi mewujudkan sektor awam yang cemerlang.

Isu pertama adalah berkenaan dengan kualiti perkhidmatan awam yang perlu dipertingkatkan. Pandangan stereotaip tentang kualiti perkhidmatan awam pada masa sekarang hendaklah dilenyapkan sama sekali. Sebagai seorang penjawat awam, saya berharap untuk memastikan prestasi perkhidmatan awam memenuhi tuntutan dan harapan keseluruhan “pelanggan” dan sebagai orang awam, sudah tentulah saya mengharapkan perkhidmatan awam bertaraf kelas pertama. Oleh itu, tumpuan kepada usaha memenuhi harapan dan kehendak rakyat haruslah dipertingkatkan. Ini dapat dilaksakan dengan pembentukan modal insan yang berkualiti dengan jati diri yang cemerlang yang dapat menyediakan perkhidmatan awam yang cekap, cepat, efisien, berintegriti dan mesra rakyat. Pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlulah dijalankan secara berterusan.

Harapan seterusnya adalah untuk mempertingkatkan tahap penghayatan nilai-nilai murni di kalangan penjawat awam bagi melahirkan tenaga kerja yang bertanggungjawab, berakauntabiliti dan berintegriti. Masyarakat pada masa kini lebih kompleks, lebih prihatin dan harapan rakyat adalah diluar jangkaan. Sehubungan itu, bagi mendapatkan keyakinan “pelanggan” perkhidmatan awam, perkhidmatan yang telus haruslah menjadi keutamaan. Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlulah mengkaji, mengemaskini dan melaksanakan penambahbaikan sistem prosedur kerja bagi melaksanakan amalan tadbir urus yang baik. Selain itu, perlaksaan pengurusan kewangan dan sumber-sumber hendaklah dijalankan secara berhemah. 

Di samping itu, budaya kerja penjawat perkhidmatan awam harus diperbaiki. Isu ini sebenarnya berkait rapat dengan kualiti perkhidmatan awam yang telahpun saya usulkan. Namun ia tidak kurang pentingnya untuk diketengahkan. Sebagai seorang penjawat awam, saya akui tentang keterdapatan kepincangan dalam budaya kerja penjawat perkhidmatan awam. Saya tidak katakan kesemua penjawat awam itu sama, tetapi jika dilihat daripada pandangan secara keseluruhan, ya, kepincangan itu boleh dikatakan agak jelas. Oleh itu, adalah menjadi harapan saya supaya budaya kerja penjawat awam dapat diperbaiki pada masa akan datang. Setiap penjawat awam haruslah lebih berdaya saing dan dalam hal ini mungkin sektor swasta dapat dijadikan contoh yang baik. 

Sekiranya perkhidmatan awam dapat diperkasakan dan kesemua harapan-harapan yang diketengahkan terlaksana – kualiti perkhidmatan awam bertaraf kelas pertama, tahap penghayatan nilai-nilai murni yang tinggi dan budaya kerja yang berdaya saing – kita akan dapat melihat moto 1Malaysia dapat direalisasikan, “Pencapaian Diutamakan, Rakyat Didahulukan”, dan itulah harapan saya secara amnya.  

Noraini binti Ahmad
840815-14-5318
Sidang E



Sunday, 18 December 2011

KEPIMPINAN INTEGRASI

Apakah ekspektasi anda terhadap kepimpinan perhidmatan awam dalam masa lima hingga sepuluh tahun akan datang?